4 Aktiviti Sihat Menceriakan Diri Dan Motivasi

4 Aktiviti Sihat Menceriakan Diri Dan Motivasi

Perkara negatif yang berlaku di sekeliling kita atau terhadap diri sendiri sering membuatkan kita penat dari segi mental dan fizikal. Bagaimanapun, jangan pula kita tewas dengan perkara negatif ini dan tidak bersemangat menjalani kehidupan seharian.

Motivasi diri boleh membantu kita ceria dan lebih bersemangat menjalani kehidupan walaupun berdepan dengan perkara negatif yang cuba dielakkan.

Kali ini Gen Y berkongsi beberapa idea yang boleh dilakukan pada waktu lapang atau hujung minggu.

Dengan melakukan aktiviti mudah dan menyeronokkan ini, manalah tahu kita dapat mengurangkan tekanan selain inspirasi atau motivasi dalam menghadapi kehidupan seharian.

1. Belajar daripada YouTube

Pasti ramai yang suka tengok laman web perkongsian video YouTube, bukan? YouTube bukan hanya untuk kita tengok video klip lagu atau lawak saja. Kita boleh belajar bermacam ilmu, skil dan perkara lain di YouTube.

Banyak individu dan organisasi yang memuat naik video yang mengajar pelbagai benda menarik di saluran mereka di laman web itu. Ada yang mengajar langkah asas menari, teknik mekap terkini, cara berenang, cara memasak dan pelbagai lagi.

Jadi bukan saja kita dapat menenangkan fikiran dengan tidak terlalu memikirkan perkara negatif malah kita boleh mempelajari kebolehan baru.

2. Derma barang

Mungkin kita tak perasan banyak barang yang kita ada, tetapi sudah lama tidak digunakan. Kalau sudah lama sangat kita tak gunakan sesuatu barang tu, sebenarnya kita tak perlukan pun. Tidak kiralah seluar, kasut, buku teks atau apa saja pun yang masih elok lagi keadaannya dan boleh dipakai, kita boleh dermakan pada mereka yang kita rasa memerlukan sebab tak semestinya menderma itu hanya dalam bentuk wang bukan?

Cuba luangkan masa sejam saja dan tengok barang disimpan lama itu mesti ada yang boleh diberikan ke rumah anak yatim, badan kebajikan atau organisasi yang boleh disalurkan. Jika tak tahu ke mana patut diberi, cari saja maklumat di Internet atau akhbar. Ataupun anda boleh pusing sekeliling kawasan perumahan anda atau yang berhampiran pasti ada rumah kebajikan yang sudi menerima.

Bak kata orang tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Dengan membuat orang lain tersenyum dan gembira, ia dapat membawa aura positif tidak mustahil ia dapat memberikan kita rasa yang tenang pada jiwa.

3. Lukisan tapak tangan

Ada kajian yang mengatakan membuat hasil seni dapat menenangkan fikiran. Malah kajian juga mendapati merasakan tekstur halus di celah jari dapat merehatkan minda. Jadi apa kata buat hasil seni mudah dengan menggunakan jari dan tapak tangan kita? Lukisan ini juga seperti tidak lapuk dek zaman dan mudah dibuat.

Letakkan cat lukisan yang boleh didapati di pasar raya atau kedai kraf pada tapak tangan dan tekapkannya pada kertas lukisan. Gunakanlah beberapa warna kegemaran anda dan sesuai dengan mood atau konsep yang anda ingini. Selepas itu bolehlah bingkaikan dan digantung atau diberikan sebagai hadiah kepada kawan.

4. Berkelah berhampiran rumah

Berkelah di taman, tepi tasik ataupun di mana-mana saja yang mempunyai keindahan alam seakan menjadi trend orang muda ketika ini. Anda boleh pergi seorang atau ajak rakan lain turut serta. Hanya bawa beberapa makanan ringan, minuman yang menyegarkan, hamparkan tikar dan berkelah. Dengan suasana yang cantik di sekeliling pasti menarik untuk bergambar juga.

Inilah masanya juga untuk keluar dari rumah, menghirup udara segar dan menenangkan fikiran dengan tidak melakukan perkara kebiasaan seperti menonton televisyen, bermain atau sebagainya. Ingatkan perkara yang indah dan refleksi diri, ketenangan dan ilham pasti muncul.

sumber : telegram gaya sihat cantik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat