ARAK – Minuman Beralkohol Berisiko Kepada Kesihatan

arak bahaya

Arak murah berbahaya kerana proses pembuatannya tidak dipantau namun hakikatnya semua minuman ini memberi risiko kepada kesihatan. Pegawai perubatan Persatuan Perubatan Islam Malaysia ( Imam), Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini berkata, kajian menunjukkan alkohol berada di tangga ketujuh penyebab kepada kematian dan penyakit di seluruh dunia. Menurutnya, antara penyakit dikaitkan dengan minuman ini adalah kanser, sakit jantung, hati dan saraf malah jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan di bawah pengaruh alkohol juga tinggi.

“Minuman alkohol murah bahaya kerana proses pembuatan tidak dipantau. Boleh jadi dihasilkan mereka yang tidak berpengalaman di rumah atau kilang yang tak diluluskan. “Paras alkohol, racun atau bendasing tidak diuji pada arak murah yang biasanya dijual secara tidak berdaftar. Tapi, semua jenis minuman alkohol memberi risiko kepada kesihatan.

bahaya arak

KAJIAN MENGENAI ARAK

“Kajian terbaru terbitan jurnal The Lancet di 195 buah negara dari 1990 hingga 2016 menyimpulkan alkohol berada di tangga ketujuh punca kepada kematian dan penyakit di seluruh dunia,” katanya kepada Sinar Harian. Tambah beliau, selain kesan negatif kepada kesihatan, minuman keras juga memberi masalah dari segi sosial kerana sering membawa kepada pergaduhan, maksiat dan kerosakan rumah tangga.

Jelasnya, itulah hikmahnya arak diharamkan secara total dalam Islam kerana keburukannya lebih besar dari manfaat. “Seperti disebut dalam al-Quran yang mengumpamakan minuman keras sebagai najis keji dan amalan syaitan yang wajib dijauhi,” ujarnya.

arak kanser

KESAN MINUM ARAK MENGIKUT ILMUAN ISLAM

Manakala ilmuan Islam iaitu Abdul Laith Assamarqandi berkata dalam kitabnya Tanbihul Ghafilin: “ Awaslah kamu dari meminum minuman keras kerana ia mengandungi sepuluh bahaya:

  1. Peminumnya berkelakuan seperti orang gila dan menjadi bahan ketawa anak-anak kecil dan tercela di kalangan orang-orang berakal.
  2. Memboroskan harta dan merosakkan akal.
  3. Menyebabkan permusuhan dengan kawan-kawan.
  4. Terhalang daripada mengingat Allah dan sembahyang.
  5. Terdorong melakukan zina kerana dalam keadaan mabuk si peminum mungkin menceraikan isterinya tanpa disedari.
  6. Arak adalah pembuka bagi segala kejahatan.
  7. Perbuatan meminum arak mengganggu Malaikat yang menjaga si peminum disebabkan kefasikan dan bau busuk minuman keras yang diminumnya.
  8. Dikenakan hukuman dera 80 kali di dunia dengan disaksikan oleh keluarga dan teman-teman.
  9. Perbuatan meminum arak menutup pintu langit disebabkan segala kebaikan dan doanya tidak terangkat ke langit selama 40 hari.
  10. Membawa akibat buruk terhadap diri si peminum kerana ditakuti tercabut imannya ketika mati.

sumber: sinarharian, seliparlover

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu