DIET DIET SIHAT

Sihat Dengan Diet Yang Sihat

Bahaya Ubat Tiroid Dalam Teh Kurus

Bahaya Ubat Tiroid Dalam Teh Kurus

“Doktor, saya sakit dada, rasa jantung laju, lepas tu jalan sikit je dah penat”

Lelaki berusia awal 30an itu adalah pesakit kedua saya hari ini. Dirujuk dari klinik swasta selepas didapati jantungnya laju dan tidak sekata. Tiada masalah kesihatan lain sebelum ini.

Katanya, dah seminggu begini. Tidak merokok, tidak menggunakan vape, tiada juga sejarah penyakit jantung pada usia muda dalam keluarganya.

Bila disoal lebih lanjut, dia kata nak kuruskan badan. Badannya tidak lah besar mana. BMI lingkungan 28.

Rupanya dia ada ambil teh untuk kuruskan badan. Beberapa hari sebelum dia rasa semua benda ni. Ditanya penjual, dikatakan proses detox memang rasa sebegitu. Tak tahan dengan keadaan sebegini, dia datang jumpa doktor.

ECGnya tidak normal. Ada atrial fibrillation (ritma elektrik jantung tidak normal). Nadinya sekejap 75 sekejap 120 per minit. Mujur tiada tanda-tanda serangan jantung.

Bila buat ujian darah, hormon tiroidnya tinggi dari julat normal. Saya cuma geleng kepala. Dah agak dah.

“Encik, banyak kali kita jumpa orang yang minum teh kurus jadi begini. Ada penjual tak bertanggungjawab yang campur teh mereka dengan ubat tiroid.”

Ubat tiroid (thyroxine) akan meningkatkan hormon tiroid dalam badan. Akibatnya, metabolisma badan meningkat, berat memang akan turun. Namun, ia akan menyebabkan jantung laju, cirit birit dan rasa panas.

Kesan jangka panjang, jantung akan bengkak. Akhirnya akan kena kegagalan jantung. Tapi, ada yang tak sempat bengkak jantungnya, dah mati kena serangan jantung akibat ritma jantung tak sekata.

“Berhenti lah teh itu encik. Ini bukan cara selamat untuk kurus”, nasihat saya padanya.

Dia tunduk saja. Menyesal. Sebab dah berkotak dibeli, hanya untuk dibazirkan di rumah.

“Kalau encik nak kurus, ada cara yang selamat. Selain senaman dan penjagaan diet, kita pun ada ubat untuk bantu kurangkan berat encik. Cumanya, encik pun kena ada motivasi dan patuh pada pemantauan doktor.”

Proses menurunkan berat badan tiada jalan pintas. Kalau ada jalan pintas, ia juga adalah jalan pintas ke kubur.

Dan jika anda dah bersenam dan jaga pemakanan, tapi berat anda masih lagi tidak turun, dapatkan nasihat doktor. Ada ubat dan rawatan lain boleh diberikan. Terutamanya, bagi yang ada masalah sakit kronik.

Yang penting, jumpa doktor.

Bukan minum teh entah apa-apa.

kredit : Dr Amirul Amzar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat