DIET DIET SIHAT

Sihat Dengan Diet Yang Sihat

Bariatrik Jalan Pintas Untuk Kurus ?

Bariatrik Jalan Pintas Untuk Kurus ?

Pembedahan bariatrik bukan jalan pintas kurangkan berat badan!

Pembedahan bariatrik atau lebih dikenali sebagai pintasan perut memerlukan komitmen penuh pesakit sepanjang proses pembedahan. Pesakit harus mengamalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat sebelum, semasa dan selepas pembedahan berlaku. Ianya penting bagi memastikan pesakit dapat mengurangkan berat badan, mengekalkan berat badan yang sihat, mengurangkan kesan-kesan sampingan serta tiada komplikasi selepas pembedahan.

Pembedahan bariatrik akan dibuat hanya jika seseorang pesakit itu didapati akan mendapat lebih manfaat daripada pembedahan tersebut berbanding risiko. Ia boleh dibuat jika pesakit mempunyai masalah obesiti yang teruk (BMI > 40), pesakit obes yang mempunyai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh masalah berat badan berlebihan seperti peyakit kencing manis, dan juga sebagai pilihan terakhir sekiranya teknik diet dan senaman gagal mengurangkan berat badan.

Terdapat beberapa jenis pembedahan bariatrik seperti ‘bariatric sleeve’, pintasan gastrik dan ‘band gastrik boleh laras’. Konsep asas dalam semua jenis pembedahan bariatrik adalah untuk mengecilkan saiz perut dan mengurangkan penyerapan kalori dan nutrisi. Apabila saiz perut semakin kecil, pesakit akan cepat berasa kenyang dengan pengambilan kuantiti makanan yang sedikit dan mengurangkan rasa lapar.

Kita hanya melihat hasil akhir setelah pesakit berubah menjadi kurus. Namun, tahukah kita bahawa selain daripada kesan sampingan seperti usus tersumbat, jangkitan kuman, pendarahan, malnutrisi dan juga ‘dumping syndrome’ yang boleh menyebabkan rasa loya, muntah, cirit-birit dan kerap pening kepala terutamanya setiap kali selepas makan, pesakit mungkin mengalami kenaikan berat badan.

Ini mungkin disebabkan gaya pemakanan sihat dan senaman tidak menjadi kebiasaan dan pesakit kembali mengamalkan pemakanan tidak sihat. Hasilnya, berat badan pesakit akan bertambah semula.

Boleh juga disebabkan perubahan pada usus yang berlaku selepas pembedahan yang menyebabkan pesakit dapat makan dengan lebih banyak dan kemudian menyebabkan pertambahan berat badan.

Di samping itu, sekatan kalori dalam pengambilan makanan (under-eating) dan senaman berlebihan (over-exercising) juga boleh menyebabkan metabolism badan berkurangan. Jadi, mereka lebih mudah untuk menambah berat badan walaupun hanya makan dalam kadar yang sedikit.

Jadi, usahlah berkata buruk kepada mereka yang menjalani pembedahan bariatrik. Masalah obesiti perlu diperangi kerana tiada siapa yang mahu mempunyai berat badan yang berlebihan. Ia datang dengan pelbagai masalah kesihatan yang lain. Tidak mudah untuk hidup dengan obesiti dan pembedahan bariatrik adalah salah satu cara untuk mengurangkan berat badan dan mengembalikan tahap kesihatan serta kualiti hidup seseorang. Ia bukan magis!

Raudhah Khairiah Bt. Muhamad
i-Medik Johor

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat