KHASIAT BUAH KIWI – Buah Yang Banyak Vitamin C Tinggi

khasiat buah kiwi

Khasiat Buah Kiwi. WALAUPUN kecil dari segi saiznya, buah kiwi mampu membekalkan cedokan harian yang lazat dengan khasiat kesihatan yang luar biasa. Pakar Nutrisi Pusat Perubatan Subang Jaya, Ho Wan Mi memberitahu, buah kiwi mengandungi dua kali ganda lebih banyak kandungan vitamin C berbanding buah oren dan lima kali ganda khasiat daripada epal.

KHASIAT BUAH KIWI

“Buah kiwi diakui mengandungi lebih banyak nutrien penting berbanding 27 jenis buah-buahan popular. Ia dibuktikan oleh kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Rutgers, Amerika Syarikat sekali gus dinobatkan sebagai perangsang kesihatan terulung. “Kandungan vitamin C yang tinggi berupaya mempertingkat sistem daya tahan secara semula jadi serta menyumbang kepada pembentukan kolagen selain fungsi normal tulang, rawan, gusi, kulit dan salur darah. “Ia juga membantu dalam penyerapan zat besi dan kalsium untuk menjaga kesihatan gigi serta gusi selain mampu mencegah simptom selesema,” jelas Wan Mi ketika ditemui Kosmo! sewaktu pelancaran musim buah kiwi Zespri di Kuala Gandah, Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Kiwi Zespri sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan pencinta kiwi memandangkan ia antara jenama utama buah itu di peringkat antarabangsa. Menurut satu kajian yang dipapar dalam The American Journal of Clinical Nutrition, ia mengesahkan kandungan vitamin C dalam buah kiwi Zespri emas adalah lima kali ganda biowujud daripada vitamin C dalam makanan kesihatan tambahan. Malah, kedua-dua buah kiwi hijau dan emas mengandungi vitamin E dan folat yang boleh membantu pembentukan sel darah merah serta mencegah anemia.
Tambah Wan Mi, buah kiwi merupakan sumber pemakanan serat yang bagus. Diet yang mengandungi banyak serat dapat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dan mengurangkan risiko serangan serta sakit jantung.

KANDUNGAN SERAT YANG TINGGI

“Berbekalkan sumber kandungan serat yang unggul, buah kiwi Zespri membantu melancarkan perjalanan usus dan menyediakan persekitaran gastrousus yang sihat untuk menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam perut,” ujar beliau lagi. Dalam pada itu, kajian yang diterbitkan The Journal of Agriculture & Food Chemistry pada tahun 2012 menunjukkan buah kiwi hijau mengandungi enzim protease (aktinidin) yang boleh membantu pencernaan di dalam usus kecil. Ia juga dapat mengurangkan rasa kembung selepas menikmati juadah yang kaya dengan lemak dan daging.

Sumber: KOSMO

This Post Has 2 Comments

  1. Buah kiwi kalau tak silap boleh matangkan telur juga untuk yang usaha untuk dapatkan anak . =)

Leave a Reply

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Close Menu