Masalah Keracunan Makanan Dan Ubat-ubatan

Masalah Keracunan Makanan Dan Ubat-ubatan

KERACUNAN MAKANAN DAN UBAT-UBATAN

Berita keracunan makanan bukan lagi sesuatu perkara yang asing dalam kalangan masyarakat kita. Keracunan makanan boleh berlaku apabila seseorang individu terambil makanan yang dicemari bakteria, unsur-unsur beracun atau bahan-bahan lain yang boleh menyebabkan penyakit.

Penyebab

Kebanyakan kes keracunan makanan melibatkan pengambilan makanan yang telah basi atau tercemar dengan kuman (bakteria, virus atau parasit). Antara contoh kuman yang boleh menyebabkan keracunan makanan adalah seperti Salmonella, Staphylococcus aureus dan Vibrio parahaemolyticus.

Kuman terbabit boleh disebarkan melalui bahan pencemar (seperti kencing, najis atau sumber air yang tercemar), vektor (binatang seperti lalat, lipas, tikus atau haiwan peliharaan) atau pembawa kuman. Selain itu, dalam sesetengah keadaan, kes keracunan makanan juga boleh disebabkan oleh logam berat, racun rumpai, racun serangga, hasil laut atau tumbuhan beracun.

Tanda-tanda Keracunan Makanan

Tanda dan gejala keracunan makanan yang dialami oleh pesakit adalah berlainan bergantung kepada agen penyebab keracunan, amaun dan jenis bakteria, virus atau toksin, umur dan status sistem pertahanan badan seseorang individu. Antara tanda atau gejala keracunan makanan yang biasa dilihat adalah seperti:
• Loya
• Muntah
• Cirit-birit
• Demam
• Sakit perut

Pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami gejala keracunan makanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak agar komplikasi yang tidak diingini dapat dielakkan. Kuman yang berbeza mempunyai tempoh inkubasi, tanda-tanda dan rawatan yang berbeza. Oleh itu, ada kalanya sampel darah atau najis pesakit akan diambil untuk pemeriksaan lanjut supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan berdasarkan diagnosis sebenar.

Rawatan

Keracunan makanan selalu dikaitkan dengan gejala cirit-birit dan muntah-muntah yang boleh menyebabkan badan kehilangan air (dehidrasi). Oral Rehydration Salt (ORS) atau “garam hidrasi” adalah penting dalam rawatan cirit-birit dan muntah-muntah untuk menggantikan garam galian dan air yang hilang.

ORS merupakan satu campuran garam khas yang mengandungi elektrolit utama dan berfungsi untuk mengekalkan cecair dalam badan. ORS biasanya dilarutkan dalam air dan diambil untuk menggantikan air dan garam yang telah hilang semasa cirit-birit atau muntah berlaku. Pesakit juga dinasihati untuk terus mengambil cecair yang secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi berterusan.

Terdapat beberapa jenis ubat lain yang boleh digunakan dalam rawatan cirit-birit dalam kalangan dewasa seperti ubat diphenoxylate+atropine dan loperamide. Namun, kebanyakan ubat dalam rawatan cirit-birit ini adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Pada tahun lalu, terdapat berita seorang kanak-kanak berumur dua tahun meninggal dunia kerana telah diberi ubat cirit-birit untuk orang dewasa oleh ibunya. Masyarakat perlu mengetahui bahawa kesesuaian penggunaan ubat-ubatan tertentu adalah bergantung kepada keadaan pesakit selepas pemeriksaan doktor atau atas nasihat ahli farmasi.

Ubat untuk orang dewasa tidak boleh dikongsi dengan kanak-kanak kerana bukan semua ubat untuk orang dewasa sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak. Selain itu, jenis dan dos ubat yang diberikan kepada kanak-kanak juga adalah berbeza bergantung kepada umur, berat badan dan keadaan pesakit.

Bagi sesetengah kes keracunan makanan yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, ubat antibiotik seperti ciprofloxacin, co-trimoxazole dan azithromycin mungkin diberikan kepada pesakit selepas pemeriksaan doktor. Sekiranya pesakit diberikan ubat antibiotik, ubat tersebut hendaklah dihabiskan mengikut arahan yang diberikan bagi mengelakkan masalah kerintangan antibiotik berlaku.

Pencegahan
Keracunan makanan boleh dicegahkan melalui penjagaan kebersihan dalam proses penyediaan makanan. Antaranya termasuk:

• Pastikan basuh tangan dengan bersih sebelum mula menyediakan makanan.
• Pastikan bahan mentah, dapur, meja dan peralatan memasak adalah bersih sebelum mula menyediakan makanan.
• Gunakan peralatan yang berbeza seperti pisau dan papan pemotong untuk makanan masak, daging mentah dan sayur-sayuran supaya pencemaran silang tidak berlaku. Sentiasa pisahkan makanan mentah daripada makanan yang telah dimasak.
• Pastikan makanan terutamanya telur, daging dan makanan laut dimasak sepenuhnya sebelum dimakan. Makanan untuk dimakan mentah pula (seperti ulam, salad) harus dibersihkan sebelum dihidang.
• Makanan perlu ditutup rapi supaya tidak terdedah kepada lalat, lipas dan tikus.
• Elakkan daripada meninggalkan makanan masak pada suhu bilik melebihi 4 jam.
• Sekiranya makan di luar, pilih gerai atau restoran yang bersih.
• Golongan yang bekerja dalam sektor penyediaan dan pengendalian makanan seharusnya mendapat pelalian antitifoid bagi tujuan mengelakkan mereka dijangkiti penyakit tifoid dan mencegah penularannya kepada orang awam melalui makanan atau minuman yang disediakan.

Sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh:
Jackie Ho Chit Khong
Pegawai Farmasi
Hospital Keningau, Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat