Masalah Keracunan Makanan Dan Ubat

Masalah Keracunan Makanan Dan Ubat

Masalah Keracunan Makanan Dan Ubat. KERACUNAN MAKANAN DAN UBAT-UBATAN Berita keracunan makanan bukan lagi sesuatu perkara yang asing dalam kalangan masyarakat kita. Keracunan makanan boleh berlaku apabila seseorang individu terambil makanan yang dicemari bakteria, unsur-unsur beracun atau bahan-bahan lain yang boleh menyebabkan penyakit.

Penyebab

Kebanyakan kes keracunan makanan melibatkan pengambilan makanan yang telah basi atau tercemar dengan kuman (bakteria, virus atau parasit). Antara contoh kuman yang boleh menyebabkan keracunan makanan adalah seperti Salmonella, Staphylococcus aureus dan Vibrio parahaemolyticus.

Kuman terbabit boleh disebarkan melalui bahan pencemar (seperti kencing, najis atau sumber air yang tercemar), vektor (binatang seperti lalat, lipas, tikus atau haiwan peliharaan) atau pembawa kuman. Selain itu, dalam sesetengah keadaan, kes keracunan makanan juga boleh disebabkan oleh logam berat, racun rumpai, racun serangga, hasil laut atau tumbuhan beracun.

Tanda dan gejala keracunan makanan yang dialami oleh pesakit adalah berlainan bergantung kepada agen penyebab keracunan, amaun dan jenis bakteria, virus atau toksin, umur dan status sistem pertahanan badan seseorang individu. Antara tanda atau gejala keracunan makanan yang biasa dilihat adalah seperti:
• Loya
• Muntah
• Cirit-birit
• Demam
• Sakit perut

Pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor sekiranya mengalami gejala keracunan makanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak agar komplikasi yang tidak diingini dapat dielakkan. Kuman yang berbeza mempunyai tempoh inkubasi, tanda-tanda dan rawatan yang berbeza. Oleh itu, ada kalanya sampel darah atau najis pesakit akan diambil untuk pemeriksaan lanjut supaya rawatan yang sesuai dapat diberikan berdasarkan diagnosis sebenar.

Keracunan makanan selalu dikaitkan dengan gejala cirit-birit dan muntah-muntah yang boleh menyebabkan badan kehilangan air (dehidrasi). Oral Rehydration Salt (ORS) atau “garam hidrasi” adalah penting dalam rawatan cirit-birit dan muntah-muntah untuk menggantikan garam galian dan air yang hilang.

ORS merupakan satu campuran garam khas yang mengandungi elektrolit utama dan berfungsi untuk mengekalkan cecair dalam badan. ORS biasanya dilarutkan dalam air dan diambil untuk menggantikan air dan garam yang telah hilang semasa cirit-birit atau muntah berlaku. Pesakit juga dinasihati untuk terus mengambil cecair yang secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi berterusan.

Terdapat beberapa jenis ubat lain yang boleh digunakan dalam rawatan cirit-birit dalam kalangan dewasa seperti ubat diphenoxylate+atropine dan loperamide. Namun, kebanyakan ubat dalam rawatan cirit-birit ini adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Pada tahun lalu, terdapat berita seorang kanak-kanak berumur dua tahun meninggal dunia kerana telah diberi ubat cirit-birit untuk orang dewasa oleh ibunya. Masyarakat perlu mengetahui bahawa kesesuaian penggunaan ubat-ubatan tertentu adalah bergantung kepada keadaan pesakit selepas pemeriksaan doktor atau atas nasihat ahli farmasi.

Ubat untuk orang dewasa tidak boleh dikongsi dengan kanak-kanak kerana bukan semua ubat untuk orang dewasa sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak. Selain itu, jenis dan dos ubat yang diberikan kepada kanak-kanak juga adalah berbeza bergantung kepada umur, berat badan dan keadaan pesakit.

Bagi sesetengah kes keracunan makanan yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, ubat antibiotik seperti ciprofloxacin, co-trimoxazole dan azithromycin mungkin diberikan kepada pesakit selepas pemeriksaan doktor. Sekiranya pesakit diberikan ubat antibiotik, ubat tersebut hendaklah dihabiskan mengikut arahan yang diberikan bagi mengelakkan masalah kerintangan antibiotik berlaku.

Pencegahan
Keracunan makanan boleh dicegahkan melalui penjagaan kebersihan dalam proses penyediaan makanan. Antaranya termasuk:

• Pastikan basuh tangan dengan bersih sebelum mula menyediakan makanan.
• Pastikan bahan mentah, dapur, meja dan peralatan memasak adalah bersih sebelum mula menyediakan makanan.
• Gunakan peralatan yang berbeza seperti pisau dan papan pemotong untuk makanan masak, daging mentah dan sayur-sayuran supaya pencemaran silang tidak berlaku. Sentiasa pisahkan makanan mentah daripada makanan yang telah dimasak.
• Pastikan makanan terutamanya telur, daging dan makanan laut dimasak sepenuhnya sebelum dimakan. Makanan untuk dimakan mentah pula (seperti ulam, salad) harus dibersihkan sebelum dihidang.
• Makanan perlu ditutup rapi supaya tidak terdedah kepada lalat, lipas dan tikus.
• Elakkan daripada meninggalkan makanan masak pada suhu bilik melebihi 4 jam.
• Sekiranya makan di luar, pilih gerai atau restoran yang bersih.
• Golongan yang bekerja dalam sektor penyediaan dan pengendalian makanan seharusnya mendapat pelalian antitifoid bagi tujuan mengelakkan mereka dijangkiti penyakit tifoid dan mencegah penularannya kepada orang awam melalui makanan atau minuman yang disediakan.

Sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre – NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh:
Jackie Ho Chit Khong
Pegawai Farmasi
Hospital Keningau, Sabah.

KOMBINASI MAUT

Assalamualaikum Doktor. Emak saya mengalami sakit lutut sejak dari dulu lagi. Umur dia sudah 71 tahun. Pil tu sesuaikah utk dia? Terima kasih. Walaikumusalam. Kombinasi ubat tahan sakit NSAIDs (contoh indomethacin, mefanamic acid, diclofenac, brufen) dan steroid (seperti betamethasone, prednisolone) adalah kombinasi maut terutama bagi wargamas yang mengalami sakit lutut.

Bila mereka mengambil dua ubat ini serentak, memang cepat rasa lega, tetapi boleh menyebabkan gastric ulcer dan pendarahan dalam perut. Ia juga boleh menyebabkan kerosakan ginjal. Saya sudah lihat ramai wargamas yang muntah darah dan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Wad Pembedahan depan sama kerana mengambilnya dalam masa yang lama. Ramai juga yang mengalami kerosakan ginjal. Jadi berhati2 dgn kombo ubat tahan sakit NSAID dan steroid.

#HealthDrZubaidi

Ubat Tradisional Merawat Penyakit ?

Pengambilan ubat tradisional perlu nasihat pakar, SAKIT perut, cirit birit, gastrik atau batuk, sering dianggap penyakit biasa oleh kebanyakan orang. Berikutan itu, ramai yang memilih untuk membeli ubat daripada kaunter farmasi, pasar raya, kedai kesihatan dan secara atas talian. Pelbagai jenis ubat boleh didapati dengan sangat mudah tanpa preskripsi doktor terutama membabitkan ubat tradisional dan ubat sampingan (CM) seperti vitamin dan makanan tambahan.

‘Merawat sendiri’ penyakit dan makan ubat tanpa nasihat doktor sangat bahaya dan boleh mendatangkan kesan lebih buruk sekiranya ubat yang dimakan tidak sesuai dengan diri anda.

UBAT tradisional dan ubat sampingan (CM) boleh mendatangkan kesan lebih buruk sekiranya ubat yang dimakan tidak sesuai dengan diri anda. Berdasarkan Kajian Integrasi dan Penggunaan Ubat Tradisional dan CM oleh universiti berkenaan dengan kerjasama Institut Blackmores pada April sehingga Disember tahun 2015, kebanyakan ahli farmasi kurang pengetahuan mengenai ubat tradisional dan CM.

Kajian membabitkan 1662 farmasi komuniti di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, mendapati kebanyakan CM dijual oleh jurujual dan bukannya pengamal CM berdaftar. Pengamal CM adalah mereka yang didefinisikan pengamal berdaftar dengan Lembaga Perubatan Malaysia yang mana pada masa ini pendaftaran bukan wajib tetapi dilakukan secara sukarela.

Pesakit perlu memahami risiko membeli dan memakan ubat sama ada ubat sampingan atau tradisional tanpa terlebih dulu menjalani pemeriksaan doktor. Ubat tradisional seperti Dong Guai, pencair darah atau warfarin, aspirin, bawang putih dan ginseng Siberia boleh meningkatkan risiko pendarahan sekiranya dimakan. Pesakit juga dinasihatkan segera berjumpa doktor sekiranya mengalami beberapa tanda selepas makan ubat yang dibeli di farmasi tanpa preskripsi doktor seperti gastrik atau kembung perut, mulut kering, alahan seperti ruam, denyut jantung meningkat, sembelit, pening, rasa panas dan kesan lapar.

Sebagai pengguna, pesakit perlu memastikan mereka mendapat nasihat doktor terlebih dulu sebelum membeli sebarang ubat dan lebih penting pastikan ubat berkenaan mempunyai nombor pendaftaran dan pelekat halogram yang dikeluarkan kementerian kesihatan membuktikan ketulenan ubat. Pesakit perlu mendapatkan nasihat mengenai dos ubat yang perlu dimakan dan maklumkan kepada ahli farmasi mengenai sebarang penggunaan ubat konvensional.

Kajian itu juga menunjukkan kebanyakan masyarakat di negara ini menggunakan CM seperti vitamin pelbagai dengan tujuan menjaga kesihatan secara umum, merawat selesema dan demam serta meningkatkan sistem kekebalan badan atau sistem imun untuk penyakit kronik. Kebanyakan yang didapati paling kerap membeli ubat sampingan adalah pesakit asma, barah, diabetes dan hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Bagaimanapun, majoriti ahli farmasi yang berdaftar mengakui menerima tanggungjawab profesional mereka dan peranan sebagai pendidik serta pembekal maklumat. Ahli farmasi perlu mengekalkan maklumat tepat mengenai CM dan menggunakan kepakaran ini apabila menasihati pengguna. Mereka perlu berfungsi sebagai pemberi maklumat yang boleh diharapkan bagi membantu pengamal penjagaan kesihatan profesional berkaitan CM.

sumber: bharian

Comments

No comments yet. Why don’t you start the discussion?

Leave a Reply