Masalah Keracunan Ubat, Apa Yang Perlu Dibuat ?

Masalah Keracunan Ubat, Apa Yang Perlu Dibuat ?

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Racun Negara, sepanjang tahun 2006 hingga 2015 terdapat sebanyak 14,081 panggilan yang diterima melibatkan kes keracunan produk farmaseutikal. Keracunan ubat boleh berlaku di mana-mana tempat atau pada bila-bila masa dan ia boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Walau bagaimanapun, kesannya adalah berbeza bergantung kepada jenis ubat dan cara pengambilan ubat tersebut. Keracunan ubat berpotensi untuk berlaku apabila pengambilan ubat melebihi had yang telah ditetapkan oleh doktor atau menyalahi cara pengambilan ubat tersebut.

Penyebab Keracunan Ubat

Keracunan ubat boleh berlaku sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Dalam situasi tidak sengaja, pesakit mungkin secara tidak sengaja mengambil dos ubat berlebihan akibat tergesa-gesa, tidak berhati-hati semasa mengambil ubat atau mengambil ubat di tempat yang gelap.

Insiden keracunan ubat juga boleh berlaku apabila terdapat segelintir pesakit yang sengaja menggandakan dos ubat tanpa arahan daripada doktor atau ahli farmasi. Pesakit yang mempunyai banyak masalah kesihatan dan perlu mengambil pelbagai jenis ubat, pesakit warga emas dan pesakit yang mempunyai masalah hati atau buah pinggang berpotensi untuk mengalami keracunan ubat jika ubat tidak diambil mengikut arahan seperti yang diberikan oleh ahli profesional kesihatan.

Selain itu, keracunan ubat juga mungkin berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka cenderung untuk memasukkan sebarang objek ke dalam mulut mereka. Ada juga kanak-kanak yang termakan ubat dewasa apabila mereka menganggap ubat itu adalah seperti gula-gula.

Gejala/ Tanda Keracunan Ubat

Gejala keracunan ubat bergantung kepada jenis ubat, jumlah yang diambil dan usia mangsa. Ada keracunan yang gejalanya timbul serta-merta manakala ada pula yang mengambil tempoh beberapa jam atau hari sebelum menunjukkan tanda. Berikut adalah contoh tanda dan gejala keracunan ubat yang lazim berlaku:
• Sakit perut
• Muntah-muntah
• Kesukaran untuk bernafas
• Kekeliruan
• Kegelisahan
• Mengantuk yang berlebihan
• Tangan atau badan menggigil
• Denyutan nadi yang lebih laju atau perlahan daripada biasa

Rawatan Keracunan Ubat

Jika mengesyaki keracunan ubat terjadi, tenangkan fikiran dan jangan panik. Cuba dapatkan apa-apa pembungkusan, bekas ubat atau label ubat untuk mengenal pasti ubat-ubatan yang terlibat. Hubungi talian kecemasan ‘999’ atau Pusat Racun Negara atau segera ke pusat rawatan kecemasan yang terdekat. Jangan cuba untuk merawat sendiri tanpa arahan atau nasihat daripada doktor kerana ada sesetengah keracunan ubat memerlukan penawar yang spesifik.

Jika mangsa berada dalam keadaan sedar, minta mangsa untuk meludah keluar saki baki ubat yang berada di dalam mulut. Jangan sesekali memaksa mangsa muntah melainkan ia berlaku secara semula jadi bagi mengelakkan komplikasi yang lain daripada berlaku. Sementara menunggu bantuan tiba, dapatkan sebanyak mungkin maklumat yang boleh. Teruskan meneliti status pernafasan, denyutan nadi dan tahap respon mangsa.

Tip Pencegahan Keracunan Ubat

Kebanyakan kes keracunan ubat boleh dicegah sekiranya pesakit mengambil dan menyimpan ubat-ubatan mengikut nasihat yang diberikan. Berikut adalah tip untuk mengelakkan keracunan ubat.
• Pastikan ubat-ubatan disimpan jauh daripada kanak-kanak.
• Elakkan memanggil ubat-ubatan dengan gelaran “gula-gula” semasa berkomunikasi dengan kanak-kanak.
• Baca dan fahami label ubat setiap kali sebelum mengambilnya untuk memastikan ubat diambil oleh pesakit yang betul pada dos, cara dan masa yang betul.
• Elakkan berkongsi ubat-ubatan anda dengan orang lain.
• Ikut arahan pengambilan ubat seperti yang ditetapkan, jangan gandakan dos tanpa arahan daripada doktor atau ahli farmasi.
• Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sekiranya kurang pasti berkaitan indikasi dan cara pengambilan ubat-ubatan.
• Ambil ubat di tempat yang terang atau pasangkan lampu semasa memberi atau mengambil ubat.
• Bagi mengelakkan kekeliruan semasa pengambilan ubat, simpan ubat di dalam bekas asal atau sampul ubat asal kerana arahan pengambilan ubat ada pada label ubat.
• Elakkan mengambil ubat daripada bekas ubat yang tidak mempunyai sebarang label atau dengan label yang tidak jelas.
• Simpan kertas sisipan ubat yang terdapat di dalam kotak ubat dan mengetahui serba sedikit berkaitan ubat tersebut terutamanya kesan-kesan sampingan.
• Biasakan diri untuk menyemak tarikh luput dari semasa ke semasa. Jangan guna ubat yang telah melepasi tarikh luput.

Pesakit dinasihatkan untuk rujuk kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya memerlukan informasi tambahan berkaitan ubat-ubatan. Jika tip ini mampu diikuti, maka keracunan ubat yang memudaratkan kesihatan dapat dielakkan.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) melalui talian 1800-88-6722, Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum.

Disediakan oleh:
Aima Nabila Abdul Basid &
Lina Farhanah Abdul Aziz
Pegawai Farmasi
Hospital Kuala Lumpur

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.