Measles Punca Wabak Orang Asli Suku Bateq

Measles Punca Wabak Orang Asli Suku Bateq

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI TERKINI KLUSTER JANGKITAN SALURAN PERNAFASAN DI KALANGAN KOMUNITI ORANG ASLI KAMPUNG KUALA KOH, GUA MUSANG, KELANTAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan di kalangan Orang Asli yang berkaitan dengan Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang telah dilaporkan sejak 3 Jun 2019.

Sehingga 15 Jun 2019, sebanyak 112 kes termasuk dua (2) kematian telah dilaporkan kepada KKM. Komuniti Orang Asli ini mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk, selsema dan beberapa kes mengalami gejala mata merah. Daripada jumlah tersebut, seramai 52 kes
masih dirawat di hospital iaitu 48 kes di wad biasa dan empat (4) kes di Unit Rawatan Rapi. Sebanyak 19 kes dengan gejala ringan berada di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) di Gua Musang dan 39 kes telah dibenarkan pulang. Seramai 170 dari 185 (92%) penduduk Kampung Kuala Koh telah
ditemui dan diperiksa status kesihatan mereka.

Sehingga 15 Jun 2019, 37 kes telah disahkan measles melalui ujian makmal. Keputusan ujian-ujian makmal yang lain seperti tuberkulosis, melioidosis, leptospirosis dan corona virus adalah negatif. Berdasarkan daripada keputusan makmal tersebut, penyakit yang berlaku dalam kalangan Orang Asli
Kampung Kuala Koh ini ialah wabak measles (demam campak).

Faktor penyumbang kepada penularan jangkitan measles dalam komuniti Orang Asli Kampung Kuala Koh ini adalah liputan imunisasi measles yang rendah iaitu hanya 61.5% bagi suntikan dos pertama vaksin Measles-MumpsRubella (MMR) dan 30% bagi suntikan dos kedua. Pasukan kesihatan sukar
untuk memberi perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh kerana cara hidup suku kaum ini yang kerap berpindah randah. Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi.

Sejumlah 14 kematian telah dilaporkan berlaku, namun hanya dua (2) kes terakhir telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat yang pertama, punca kematian dilaporkan sebagai pneumonia (radang paru-paru).
Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan dibantu oleh Pasukan Perubatan Forensik KKM telah berjaya mengeluarkan kesemua 12 mayat dari Kuala Koh sehingga jam 6.40 petang semalam dan telah dibawa ke Hospital
Gua Musang untuk siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematian.

Measles adalah jangkitan virus measles yang amat mudah merebak. Satu kes measles boleh menularkan jangkitan kepada 12 – 18 individu lain. Jangkitan menular melalui titisan cecair pernafasan di udara dan sentuhan langsung dengan cecair pernafasan daripada orang yang dijangkiti. Measles boleh dicegah dengan imunisasi. Vaksin MMR diberikan sebanyak dua dos kepada bayi berumur 9 bulan dan 12 bulan.

Gejala penyakit measles adalah demam dengan batuk, selesema atau mata merah (konjunktivitis), diikuti dengan ruam selepas beberapa hari. Komplikasi jangkitan measles berlaku terutama kepada bayi, kanak-kanak, serta individu yang mengalami kekurangan zat makanan dan tahap imuniti yang rendah. Komplikasi measles termasuk pneumonia, cirit-birit, keradangan otak (encephalitis), otitis media dan
kematian. Kadar kematian kes measles (case fatality rate) lazimnya kurang dari 1%, namun boleh setinggi 3-6% sekiranya mengalami kekurangan zat makanan.

Tindakan pencegahan dan kawalan wabak telah dijalankan dan masih diteruskan, termasuk:
1. Carian kes secara aktif di perkampungan Orang Asli ini dan di perkampungan sekitar berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini;
2. Memberi vitamin A kepada semua kanak-kanak bagi kes Measles yang dirawat, bertujuan meningkatkan sistem imuniti memandangkan
mereka mengalami masalah kekurangan zat makanan;
3. Menjalankan aktiviti imunisasi kepada semua penduduk Orang Asli di lokasi terlibat;
4. Pendidikan kesihatan kepada penduduk, termasuk sesi kaunseling bagi mengurangkan tekanan dan keresahan; dan
5. Mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa mengamalkan penggunaan alat perlindungan diri (Personal Protective Equipment) yang bersesuaian.

KK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat