DIET DIET SIHAT

SIHAT DENGAN DIET SIHAT

Peningkatan Kes Covid19 Kluster Teratai

Peningkatan Kes Covid19 Kluster Teratai

KKM ingin memaklumkan situasi terkini Kluster Teratai di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang telah diisytiharkan pada 7 November 2020. Kluster ini telah menunjukkan peningkatan kes yang mendadak sejak akhir-akhir ini. Sehingga 23 November 2020, terdapat 2,524 kes positif (43.8 peratus) COVID-19 yang telah dilaporkan daripada keseluruhan 5,767 kes yang telah disaring. Sebanyak 1,330 sampel adalah negatif dan 1,913 masih menunggu keputusan.

Kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada 164 warganegara dan 2,360 bukan warganegara yang berumur di antara 2 hingga 68 tahun. Kebanyakan kes daripada kluster ini merupakan pekerja-pekerja kilang di kawasan Meru, Klang. Semua kes positif telah dimasukkan ke hospital dan kontak rapat mereka telah dikuarantin untuk mengelakkan jangkitan kepada pekerja-pekerja lain. Pihak pengurusan kilang telah mengambil langkah inisiatif untuk mengasingkan pekerja-pekerja yang dikenalpasti sebagai kontak rapat di tempat-tempat kuarantin yang tertentu. Sehingga hari ini, tiada kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi dan tiada kes kematian dilaporkan.

Sejak 17 November 2020, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di sekitar kawasan asrama pekerja dan rumah-rumah pekerja. Jumlah penduduk yang terlibat dalam PKPD adalah lebih kurang 5,900 orang. Namun, maklumat yang diperolehi daripada pihak pengurusan kilang mendapati keseluruhan pekerja adalah sebanyak lebih kurang 13,000 orang yang bertugas di 28 buah bangunan kilang yang berbeza. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang untuk perancangan membuat saringan ke atas semua pekerja ini.

Perbincangan di peringkat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah diadakan dengan pelbagai agensi kerajaan pada 23 November 2020, di mana ianya telah berkisar sekitar cadangan penutupan kilang-kilang berkaitan secara berperingkat. KKM menyambut baik perkara ini, yang telah pun diumumkan sebentar tadi oleh YB Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob. Ini membolehkan saringan dijalankan secara menyeluruh. Untuk itu, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan akan digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan yang akan dipergiatkan.

Leave a Reply

%d bloggers like this: