Tips Perjalanan Jauh Bagi Pesakit Kronik

Tips Perjalanan Jauh Bagi Pesakit Kronik

Hari perayaan merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh semua dan sudah pasti ramai antara kita yang akan pulang ke kampung atau bercuti untuk melancong ke luar negara. Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu dirancang rapi sebelum perjalanan jauh terutamanya kepada pesakit yang perlu mengambil ubat-ubatan untuk rawatan penyakit kronik. Perancangan yang rapi bukan sahaja dapat memastikan rawatan ubat-ubatan pesakit tidak terjejas bahkan juga dapat mengelakkan masalah-masalah yang tidak diingini.

Sebelum Bertolak

Pesakit perlu memastikan kuantiti ubat yang dibawa adalah mencukupi sepanjang tempoh perjalanan. Pesakit juga dinasihati untuk membawa bekalan ubat yang berlebihan sedikit untuk mengelakkan masalah bekalan ubat tidak mencukupi. Ini adalah penting kerana pemanjangan tempoh perjalanan mungkin berlaku disebabkan oleh penukaran tarikh bertolak pulang, cuaca yang buruk, banjir, hal kecemasan dan sebagainya. Selain itu, pastikan tarikh luput setiap ubat disemak sebelum bertolak ke destinasi bagi memastikan kualiti dan keselamatan ubat tersebut tidak terjejas.

Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin perlu mendapatkan rawatan perubatan semasa berada di luar negeri. Justeru, pesakit disarankan sentiasa membawa bersama-sama surat ubat atau preskripsi ubat semasa perjalanan jauh. Langkah ini adalah penting kerana preskripsi ubat boleh menjadi sumber rujukan kepada doktor atau pasukan perubatan sekiranya berlaku kecemasan. Preskripsi ubat juga boleh membekalkan maklumat berkaitan ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit kepada doktor yang merawat sekiranya pesakit ingin mendapatkan rawatan lanjut atau bekalan ubat di fasiliti kesihatan yang lain.

Selain itu, pesakit juga dinasihati untuk menyimpan ubat-ubatan dalam bekas asal bersama-sama label ubat untuk memudahkan rujukan dan juga untuk mengelakkan kekeliruan. Informasi seperti nama ubat, dos ubat, cara pengambilan dan masa pengambilan ubat boleh didapati pada label ubat. Penukaran bekas asal ubat kepada bekas lain mungkin meningkatkan risiko kesilapan pengambilan ubat.

Sekiranya melancong ke luar negara, pesakit dinasihati untuk mendapatkan informasi berkaitan endemik setempat (penyakit yang kerap berlaku di daerah tertentu) di kawasan atau negara yang akan dilawati sebelum bertolak. Informasi ini perlu diketahui supaya langkah-langkah pencegahan seperti keperluan pengambilan ubat-ubatan pencegahan dan vaksin perlu dititikberatkan sebelum bertolak ke negara tersebut.

Selain itu, pesakit juga dinasihati untuk mendapatkan maklumat berkaitan peraturan dan undang-undang pengawalan ubat setempat sebelum melancong ke negara lain. Maklumat ini penting kerana negara yang berlainan mungkin mempunyai akta atau undang-undang yang berbeza dalam pengawalan jenis ubat dan kuantiti ubat yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam negara tersebut. Oleh itu, pesakit perlu mendapatkan informasi tersebut sebelum bertolak bagi memastikan ubat boleh dibawa masuk ke negara yang akan dilawati.

Semasa Perjalanan

Ubat-ubatan perlu disimpan di tempat yang kering dan jauh daripada haba atau cahaya matahari semasa perjalanan jauh. Pesakit perlu diingatkan agar tidak menyimpan ubat-ubatan mereka di dalam kereta sekiranya berhenti untuk rehat di kawasan rehat & rawat kerana peningkatan suhu dalam kereta boleh merosakkan ubat.

Untuk pesakit yang menggunakan ubat yang memerlukan penyimpanan pada suhu sejuk, pesakit dinasihatkan untuk menyimpan ubat-ubatan tersebut dalam beg sejuk (cooler bag) bersama-sama pek ais. Sebaik sahaja tiba di destinasi atau kampung halaman, pindahkan ubat-ubatan tersebut ke dalam peti sejuk.

Selain itu, pesakit dinasihati untuk membawa bekalan ubat bersama-sama dalam bagasi tangan sekiranya menaiki kapal terbang. Ubat-ubatan kurang sesuai disimpan dalam bagasi daftar masuk kerana suhu pada tempat yang mana bagasi tersebut disimpan mungkin tidak sesuai atau boleh merosakkan ubat. Selain itu, membawa ubat bersama-sama dalam bagasi tangan boleh memudahkan pesakit untuk mengambil ubat-ubatan tersebut pada waktu pengambilan ubat walaupun semasa berada dalam penerbangan.

Perancangan ubat-ubatan yang rapi sebelum perjalanan jauh dapat mengelakkan masalah seperti gangguan bekalan ubat atau keberkesanan ubat terjejas. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh:
Siew Lee Jin
Pegawai Farmasi
Program Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Open chat