DIET DIET SIHAT

SIHAT DENGAN DIET SIHAT

Vaksin Bukan Konspirasi Yahudi

Vaksin Bukan Konspirasi Yahudi

Vaksin Bukan Konspirasi Yahudi : Pengasas Vaksin Pfizer Pun Orang Islam (Dr Ugur Sahin & Dr Ozlem Tureci)

Tahukah anda, vaksin Pfizer adalah hasil usahasama syarikat milik Dr Ugur Sahin, seorang pakar onkologi dengan PhD dalam bidang ‘oncology chemotherapy’.

Dia beragama Islam dan berasal dari Turki dan berhijrah ke Jerman dan menamatkan semua pengajian universiti di sana. Dia berkahwin dengan isterinya di Jerman, Dr Ozlem Tureci, juga seorang Islam berketurunan Turki.

Vaksin Pfizer yang menggunakan teknologi mRNA adalah bebas khinzir dan hasil dari penyelidikan syarikat BioNTech milik beliau dan Pfizer. Pada asalnya, syarikat ini menumpukan kajian imunoterapi dalam pesakit kanser.

Pasangan suami isteri ini adalah antara individu terkaya di Jerman dengan nilai aset melebihi RM 20 Billion. Walaupun kedua mereka adalah bilionair, mereka tidak memiliki kereta dan memilih untuk mengayuh basikal ke makmal tempat kerja.

Mereka amat berdisiplin dan berdedikasi dengan penyelidikan hinggakan kembali ke makmal sebaik sahaja selesai bernikah untuk menyambung kerja-kerja makmal.

Menariknya, vaksin juga mula dipopularkan oleh doktor-doktor Islam di Turki semasa zaman empayar Otoman. Amalan ini diperhatikan oleh isteri duta British di sana, Lady Montagu dan dia menulis surat kepada saintis British untuk dikaji kerana berkesan menghentikan penyakit smallpox. Bermula dari itu, saintis British telah mengembangkan amalan vaksin dan terbukti berkesan.

Tentu orang-orang Turki menghargai pencapaian beliau dan sumbangannya dalam perubatan memberikan kesan yang besar impaknya di seluruh dunia. Kejayaan pasangan ini disanjung oleh rakyat Jerman sendiri.

Sebenarnya, kisah menakut-nakutkan orang bagi kesan buruk vaksin atau teori konspirasi adalah tidak berasas. Begitu juga kononnya ada ‘cip’ yang diletakkan untuk ‘mengesan manusia’ hanyalah cerita karut yang disalut gula dan garam.

Ada juga video sekerat-sekerat dari penerangan cip sistem logistik penghantaran vaksin sebagai kononnya ada cip yang akan dimasukkan ke badan bagi mengelirukan penonton. Cip atau barkod sudahpun digunakan pada plastik barang di pasaraya sejak lama untuk tujuan harga dan ukur kira stok dan begitulah juga vaksin. Mereka sangat berusaha menipu orang-orang kampung dan bandar.

Hakikatnya vaksin adalah usaha keras melalui kaedah saintifik yakni menurut hukum alam dan tentunya usaha sebegini mendapat pahala yang besar dari Allah swt.

Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 32, “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

Bayangkan pahala mereka !

Seharusnya begitulah hidup yang baik bagi seorang Muslim – memberikan seluruh hidupnya untuk kebaikan manusia dan bukan menghabiskan masa menghukum orang itu akan ke neraka dan sebagainya sedangkan diri sendiripun belum tentu akhirnya. Mereka yang amalannya baik dan besar impaknya tentu besar ganjarannya di akhirat.

Ketahuilah fakta sebenar dan janganlah percaya penyebar dakyah vaksin dan teori konspirasi kerana mereka sebenarnya mahu menjual produk tertentu dengan kaedah pemasaran menakutkan manusia dengan keraguan dan cerita bohong.

Tiada konspirasi vaksin melainkan usaha keras dari pelbagai negara menghasilkan vaksin kerana ia adalah jalan keluar bagi menghentikan musibah ini. Yang ada hanyalah konspirasi di kalangan penjual produk yang mahu memperkenalkan produk mereka sebagai alternatif atas vaksin yang mereka takutkan.

Kenapakah ada orang Islam sendiri yang memburukkan satu produk kajian dari orang Islam sendiri? Kenapa bersungguhan mahukan orang Islam menjadi bodoh dengan cerita yang menyimpang dari fakta sebenar?

Pelikkan?

Dr Alzamani Mohammad Idrose

Nota :
1. Artikel ini saya tulis untuk memberikan fakta yang tepat kerana saya dapati ada orang Islam yang dikelirukan terutamanya oleh golongan antivaksin. Orang Islam juga harus kembali kepada asas ajaran Islam yang menyuruh membuat kebaikan kepada seluruh jagat manusia dan alam.

2. Semua vaksin Covid yang dihasilkan, tidak kira apa jenama dan dari negara mana, menggunakan legasi dari prinsip yang sama dari doktor-doktor Islam Uthmaniah yakni penghasilan antibodi. Rasional dan waraslah dalam berfikir. Semua jenis vaksin, adalah ikhtiar manusia yang diuji keselamatan dengan ketat dan proses yang bersih. Vaksin yang terkini dibuat dengan teknik yang tidak menggunakan khinzir. Maka janganlah terlalu memilih dan menjadikan fardu kifayah menghentikan pandemik ini sukar.

3. Islam agama yang indah dan mudah. Fungsi kita adalah berbuat sebanyak kebaikan. Janganlah hidup kita menjadikannya teramat rumit dan mencari setiap ruang kelemahan orang Islam yang lain sedangkan mereka menyembah Tuhan yang sama.

4. Di akhirat, berakhir di syurga atau neraka berdasarkan berat timbangan dari pahala amalan keseluruhan hidup kita. Muslim yang terbaik sentiasa melihat ke dalam dirinya sendiri dan menjadi manusia yang berhikmah untuk membanyakkan kebaikan dan itu jalan yang tulus ke syurga, bukan masanya sibuk melihat kurangnya ‘Islam’ orang lain. Semulia-mulia ulama, ada dosa senyap yang hanya dia tahu. Seburuk-buruk pendosa, ada kebaikan senyap yang hanya Allah tahu.

Leave a Reply

%d bloggers like this: